Sultan Perak terima zakat perniagaan RM8.17 juta bagi pihak MAIPk

Ishak (dua dari kiri) menyempurnakan serahan zakat perniagaan LAP di hadapan Sultan Nazrin yang diadakan di Istana Kinta pada Khamis.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM8,170,475.68 daripada lapan syarikat korporat untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Kinta di sini, hari ini.

Penyerahan zakat perniagaan didahului Lembaga Air Perak (LAP) diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Ishak Abd Rahman dengan jumlah RM4.85 juta.

Seterusnya, Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd (KPJ Ipoh) melalui Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Badrul Hisyam Ibrahim menyerahkan zakat berjumlah RM1.09 juta.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad sebanyak RM585,174 diikuti YP Nominees Holdings Sdn Bhd dengan jumlah RM406,754.

Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM380,513 diikuti Empayar Indera Sdn Bhd sebanyak RM 300,000 dan diakhiri Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad berjumlah RM121,749.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Ashman Shah; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim.

Selain itu, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut.

#PerakKini #Maipk #zakat #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *