Suspek kerat ibu dipercayai mempunyai masalah mental

Mior Faridalathrash ketika ditemui media pada program Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di sini yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Lelaki yang mengerat ibu kandungnya kepada 15 bahagian sebelum dibuang ke dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar dekat sini dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bagaimanapun suspek berusia 42 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kita percaya dan kita yakin suspek mempunyai masalah mental dan telah menahannya semalam. Selain itu, kita sedang mendapatkan permohonan tahanan reman pagi ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Selepas siasatan selesai, polis akan menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di sini yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam perkembangan berkaitan Mior Faridalathrash berkata kehilangan mangsa berusia 68 tahun yang juga ibu kepada suspek disedari salah seorang anak mangsa.

“Anak perempuannya (mangsa) membuat laporan polis dua, tiga hari lalu selepas ibunya didapati hilang.

“Setiap hari anak-anaknya akan menelefon ibunya tetapi pada 28 Mei lalu, suspek yang mengangkat telefon mangsa dan memaklumkan mangsa keluar rumah dan tidak pulang,” jelasnya.

Menurutnya, Pegawai Penyiasat telah pergi ke rumah mangsa dan mendapati rumah dalam keadaan tidak terurus dengan bau tidak menyenangkan kerana mangsa dan suspek menjalankan urusan beli barangan terpakai.

“Namun semalam, polis menerima panggilan daripada jiran yang mengatakan ada bau busuk luar biasa menyebabkan pihak polis sekali lagi ke tempat kejadian.

“Bila polis pergi ke bahagian belakang rumah itu, ada plywood (papan lapis) baharu digunakan untuk menutup saluran lubang najis yang menempatkan mayat mangsa,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan pihak forensik juga turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek untuk membunuh ibunya.

Katanya, suspek memukul kepala mangsa terlebih dahulu sehingga pengsan sebelum dikerat beberapa bahagian.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar.

Pihak polis menerima laporan mengenai penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira jam 3.30 petang pada Sabtu.

Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya.

#PerakKini #bunuh #kerat #ibukandung

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *