Tak sangka jadi perkelahan terakhir bersama Fariz – Bapa

Oleh Rosdalilah Zahari

LUMUT – Keriangan sebuah keluarga yang berkelah dan mandi laut di Pantai Teluk Senangin, di sini semalam bertukar duka apabila salah seorang ahli keluarga mereka ditemukan meninggal dunia akibat lemas pada pagi Ahad.

Dalam kejadian 1 petang semalam, Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim, 10, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga dan hanya ditemukan sekumpulan nelayan sekumpulan nelayan kira-kira dua batu nautika berhampiran Tanjung Hantu dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Bapa mangsa, Abdul Halim Mohamed Ramli, 44, berkata anaknya kelihatan cukup teruja untuk berkelah bersama keluarga kerana mereka sudah lama tidak melakukan aktiviti itu sejak pandemik Covid-19 melanda.

Abdul Halim Mohamed Ramli menunjukkan gambar anak lelakinya dalam telefon bimbit yang ditemukan lemas di perairan Teluk Senangin, pagi tadi selepas dilaporkan hilang semalam.

Menurutnya, dia jarang membawa anak-anaknya berkelah namun di atas permintaan anak kedua daripada empat adik beradik itu, dia bersetuju untuk berkelah ke pantai tersebut semalam.

Dia tidak menyangka perkelahan tersebut adalah yang terakhir bersama anaknya itu.

“Dia (Mohammad Fariz Irfan) beria-ria hendak pergi mandi laut, rupanya dia pergi sungguh,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Abdul Halim berkata sejurus tiba di lokasi anak lelaki tunggalnya itu terus ke pantai namun dia menyuruh anaknya menjamah makanan dulu.

“Sebelum mandi laut, saya paksa dia makan dan saya kata kalau tak mahu makan tak payah turun (ke laut). Tetapi, sewaktu makan dia menitik air mata, macam sedih, selalu dia tak macam itu,” katanya.

Dia berkata sewaktu berada di pantai mangsa diawasi anak kedua yang berusia 19 tahun.

“Masa anak saya tiba-tiba hilang. Kemudian saya mencari merata-rata.

“Lepas saya buntu nak cari di mana, saya terus hubungi 999 maklumkan kehilangan anak. Pasukan menyelamat bersama orang kampung sama-sama cari dari semalam sampai jumpa hari ini,” katanya.

Allahyarham dibawa pulang ke Ipoh untuk solat jenazah di Surau Taman Chepor Damai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh selepas solat Asar.

Segala urusan jenazah disempurnakan di Hospital Manjung.

#PerakKini #lemas #TelukSenangin #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *