Taktik seleweng minyak diesel guna lori tangki air ditumpaskan

Foto Ihsan KPDN Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sindiket penyelewengan minyak bersubsidi yang cuba mengaburi mata penguat kuasa dengan menggunakan lori tangki air berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Taman Pengkalan Pertama, di sini, pada Khamis.
Serbuan pada jam 1 petang itu, berjaya merampas 2,400 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM87,960 kawasan penyelenggaraan bahan binaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak tersebut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai penjaga premis turut ditahan dalam serbuan tersebut.
Menurutnya, operasi tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selama seminggu di sekitar Ipoh.
“Hasil risikan yang dijalankan mendapati modus operandi
sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel dengan harga subsidi melalui tangki asal lori tangki air secara berulang-ulang iaitu sekitar 8 hingga 10 kali dengan anggaran 2,000 liter sehari di beberapa stesen minyak sekitar Ipoh.
“Sindiket ini juga cuba mengaburi pihak berkuasa menggunakan lori tangki air ini dan kemudiannya memindahkankan minyak diesel tangki asal lori tersebut ke tangki simpanan lain dan dikumpulkan di kawasan
stor tersebut,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 2,400 liter cecair yang disyaki minyak diesel ditemui disimpan di premis ini serta sebuah pam penyedut minyak dan sebuah lori yang digunakan untuk membeli minyak diesel.
“Semua barangan tersebut telah disita dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM87,960.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” jelasnya.
#PerakKini #KPDN #rampas #diesel #Ipoh #RBZ
