Tangkap pemimpin politik pembangkang atas tuduhan yang ‘direka cipta’ adalah politik tak bertamadun – Razman

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tindakan menangkap pemimpin politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang direka cipta adalah politik tidak bertamadun kata Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Beliau mendakwa, ‘plot drama’ ini dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan tuduhan demi tuduhan sejak hari pertama memasuki pejabat rasmi.

“Kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu lebih menjurus kepada apa yang disifatkan sebagai ‘pembongkaran’ kerja keras kerajaan lalu.

“Angka-angka dilihat sentiasa berubah dan akhirnya diserahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis adalah tindakan menekan badan penguatkuasaan agar menerima tuduhan dan mencari serta mencipta apa apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak betul’,” dakwanya melalui satu kenyataan media pada Khamis.

Menurutnya, tindakan itu bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuang Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

“Sehubungan itu, Pas Perak menyeru kerajaan yang ada sekarang agar bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.

“Tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol itu berharap supaya kerajaan akan melaksanakan tugas utama dengan memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara.

“Semoga negara Malaysia terus stabil dan suasana politik matang menjadi budaya rakyat sama ada parti politik kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.

#PerakKini #PasPerak ritik #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *