TARIK LESEN JUAL ARAK DI KEDAI SERBANEKA

Oleh Norsharuddin Sapian

IPOH: Pertubuhan Pengguna Prihatin Perak (PPPP) mencadangkan pihak kerajaan supaya segera meminda undang-undang dan akta berkaitan minuman keras bagi membendung kes pemandu mabuk yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Presiden PPPP, Shaferi Khairuddin berkata, tindakan itu wajar diambil bagi menjamin keselamatan dan nyawa pengguna yang tidak berdosa ketika berada di jalan raya.

“Kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk sehingga menyebabkan kehilangan nyawa pengguna jalanraya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan amat membimbangkan.

“Sehubungan itu, tindakan termasuk meminda undang-undang dan akta berkaitan minuman keras perlu dilakukan segera,” katanya kepada portal Perak Kini, di sini hari ini.

Presiden PPPP, Shaferi Khairuddin

Menurutnya, selagi undang-undang terhadap tahap pengambilan minuman beralkohol tidak diperketatkan, maka masalah tersebut sukar untuk dibendung.

Pihak PPPP juga mendesak pihak kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya turut mengkaji semula lesen yang dikeluarkan kepada premis dan pusat jualan minuman beralkohol itu termasuk menarik lesen penjualan minuman berkenaan di kedai serbaneka di seluruh negara.

“Tidak dapat dinafikan, bahawa kedai serbaneka yang menjualan produk minuman keras memudahkan orang ramai memperolehi bahan memabukkan itu.

“Ianya juga dilihat sebagai satu usaha menggalakkan orang awam terjerumus dalam kegiatan meminum minuman beralkohol,” katanya.

Menurutnya, PPPP juga mendesak pihak kerajaan supaya mengkuatkuasakan larangan meminum beralkohol di tempat awam bagi membendung gejala tidak diingini termasuk pemandu mabuk memandu di jalan raya.

Shaferi berkata, isu pemandu mabuk dilihat bukan sebagai isu perkauman tetapi lebih sebagai isu keselamatan, sama seperti penularan wabak Coronavirus (Covid-19) yang kini sedang diperangi seluruh negara.
“Ini melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat, jadi tindakan tegas dan drastic perlu dilakukan segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *