Ustaz Kazim harap Al-Barakah diiktiraf sebagai destinasi pelancongan Muslim di Perak

rbt

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berharap Pusat Pendidikan Al-Barakah (Al-Barakah) di Manjoi diiktiraf sebagai salah satu destinasi pelancongan Muslim di negeri ini menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, pusat pendidikan tersebut sentiasa menjadi tumpuan pengunjung pada setiap hujung minggu bagi menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan serta ceramah yang disampaikannya.

Katanya, sekurang-kurangnya 2,000 pengunjung dari dalam negara mahupun dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja akan singgah ke sini.

“Sebelum ini kami pernah mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya pusat ini diberikan pengiktirafan kemudahan sebagai destinasi pelancongan Muslim di Perak tetapi setakat ini belum ada maklum balas positif

“Untuk rekod sepanjang tahun 2022 hampir 100,000 pengunjung dicatatkan melibatkan pelawat dari Malaysia dan ada juga dari Turkiye dan Perancis ke sini.

“Malah sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh mahu menjadikan Kampung Manjoi ini menjadi hab pelancongan Muslim di sini sebab adanya Al-Barakah.

“Justeru, apabila kerajaan negeri mengiktiraf Al-Barakah sebagai prospek pelancongan ia akan membuka mata kepada pemain industri untuk bekerjasama dengan kami dalam membantu meningkatkan industri pelancongan di Perak,” katanya ketika ditemui di pusat pendidikan tersebut pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pengasas Pusat pendidikan berkenaan berkata Al-Barakah bukan sahaja dikunjungi mereka yang beragama Islam malah bangsa lain turut datang ke sini.” “Kita pun beri bantuan kepada bangsa lain. Pernah kita terima pelancong bukan Islam dari Cameron Highlands bawa sayur bagi pada saya. Apa salahnya kita jadikan pusat pendidikan ini sebagai pusat integrasi kaum.

“Apabila sebut pelancongan, semua kaum akan datang. Di sini kita sediakan juga penginapan kepada bukan Islam.

“Jadi saya berharap melalui usaha yang dijalankan ini secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada sekolah-sekolah lain untuk buat cantik bersih macam Al-Barakah supaya orang rasa seronok datang institusi pendidikan Islam dan diharap kerajaan negeri iktiraf sebagai tempat pelancongan serta menjadikan pembangunan insan sebagai model pelancongan,” jelasnya.

#PerakKini #AlBarakah #UstazKazim #habpelancongan #muslim #KampungManjoi #Ipoh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *