16 ‘tahi judi’ ditahan dalam Op Dadu di Ipoh

Foto: Wikipedia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis Perak berjaya menahan 16 orang individu tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian yang beroperasi di sebuah bangunan di Bercham, pada malam Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya berjaya mengesan kegiatan judi dalam bangunan itu berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima.

Beliau berkata susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak melancarkan Op Dadu dan membuat serbuan di lokasi tersebut pada Selasa jam 10.30 malam.

“Hasil serbuan itu, kita menahan 16 lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dengan kegiatan tersebut.

“Turut dirampas barang-barang yang digunakan untuk melakukan perjudian dan wang tunai RM8,002.

“Siasatan awal mendapati aktiviti perjudian itu dipercayai baharu sahaja beroperasi melihat pada tempat dan peralatan yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata kegiatan itu tidak berselindung di sebalik mana-mana perniagaan lain.

“Kesemua suspek direman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).

“Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Katanya, kerjasama daripada orang ramai dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah dan menyalahi undang-undang amat dihargai.

#PerakKini #PDRM #Perak #OpDadu #judi #haram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *