Lelaki mengamuk guna parang ditahan

Foto: Polis Daerah Ampang Jaya
Oleh Rosdalilah Zahari
SEORANG lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan polis selepas mengamuk menggunakan parang dalam kejadian di kawasan apartment Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kaunter aduan Balai Polis Pandan Indah menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 10.51 pagi.
“Sejurus menerima maklumat tersebut, anggota peronda polis (MPV) segera ke lokasi kejadian dan menahan lelaki mengamuk menggunakan parang di kawasan apartment tersebut.
“Turut dirampas sebilah pisau pemotong daging berhulu kayu dengan lilitan tali rafia anggaran panjang 30 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Terdahulu, gelagat lelaki itu sempat dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.
Suspek tersebut dilihat berjalan sekitar kawasan berkenaan dengan membawa parang.
#PerakKini #PDRM #lelaki #mengamuk #parang #Selangor
