2 Oku buta lakar sejarah berkayak di Sungai Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR – Dua belia orang kurang upaya (OKU) penglihatan bakal menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena misi Dayungan DUO Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan diadakan pada Hari Keputeraan Sultan Perak, 5 November ini.
Misi terbabit akan digalas Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, yang akan berkayak sejauh 20 kilometer (km) menyelusuri Sungai Perak bermula daripada Kem Intan Suraya, Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kedua-dua individu terbabit adalah peserta kursus TVET OKU Refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) yang juga Sekretariat Jawatankuasa TVET Perak dan IGB Training and Consultancy.
Menurutnya, bagi persediaan misi itu, Khairruddin dan Muhamad Shahrizal giat menjalani latihan di bawah bimbingan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kampar, Yusnizan Md Yusof dan pendayung kayak solo negara, Nur Adilla Hassan yang pernah mencatatkan rekod di dalam MBOR pada Disember tahun lalu.
“Khairruddin juga telah dijemput ke Pulau Langkawi bagi menyertai ekspedisi kayak bersempena Hari Sukan Negara baru-baru ini yang secara tidak langsung menjadi platform untuk persediaan misi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Dayungan Duo TVET OKU Penglihatan di Kompleks Rakan Muda Kampar, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak, Munir Aliyasak; Pengerusi Perak Eclat TVET, Datuk Abu Bakar SAID dan Pengurus IGB Training and Consultancy, Suryani Sadri.
Pada majlis itu, turut diadakan gimik penyerahan baju kepada kedua-dua peserta dayungan terbabit serta sesi penyerahan replika cek bernilai RM5,000 sumbangan Pasak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Saidi berkata, inisiatif dan usaha yang sihat ini dapat dijadikan kayu pengukur bagi menunjukkan mereka dalam kalangan OKU juga mampu berjaya seperti insan lain baik dari segi kerjaya, sukan mahupun kehidupan.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan pembangunan kepada kumpulan itu supaya mereka juga boleh diterjemahkan sebagai sumber manusia yang menyumbang kepada pertumbuhan negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Khairruddin berkata, dia mula meminati sukan kayak selepas mendapat tawaran untuk acara tersebut semasa menyertai kursus refleksologi TVET OKU di IGB Training and Consultancy di bawah kelolaan Pasak pada tahun ini.
Dia yang hilang penglihatan akibat penyakit glaukoma itu pernah menyertai Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) di Ibu Negara namun disebabkan kekangan masa dan kewangan, dia terpaksa berhenti di tengah jalan.
“Saya kemudiannya menyertai program TVET OKU ini dan apabila ditawarkan untuk acara kayak itu, saya terus buat keputusan untuk menyertainya,” katanya.
Dia yang mudah disapa Khai berkata pada awalnya dia agak kekok untuk berkayak namun selepas menjalani latihan sejak sebulan lalu, perasaan itu mula pudar.
“Pada awalnya agak susah untuk memegang pengayuh mahupun mendayung kayak namun lama-kelamaan aktiviti itu menjadi satu kebiasaan buat saya,” ujar anak keempat daripada enam adik beradik yang menetap di Meru, Ipoh.
Bagi anak kelahiran Batu Kurau, Muhamad Shahrizal atau lebih mesra dengan panggilan ‘Along’ pula berkata, dia mula berjinak-jinak menyertai sukan kayak ini sejak menyertai kursus TVET OKU IGB Training and Consultancy pada Mac lalu.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata berkata dia dan Khai menjalani latihan harian bermula dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.
“Saya sangat bertuah kerana ahli keluarga amat menyokong saya menyertai sukan kayak. Sehubungan itu, saya berharap bagi mereka yang mempunyai kekurangan seperti saya supaya tidak putus asa dan sentiasa berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan,” ujarnya.

