3 sekeluarga maut nahas di Alor Gajah

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah

ALOR GAJAH – sekeluarga maut dalam kemalangan di KM216 arah utara di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Alor Gajah, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah Muhamad Ezanee Hamat berkata 21 anggota bomba dari BBP Alor Gajah, Ayer Keroh dan Tampin bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada 11.02 pagi.

Beliau berkata kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda Jazz yang dinaiki tiga beranak dengan sebuah lori tiga tan, dan pasangan suami isteri berusia 20-an serta anak lelaki mereka yang berusia satu tahun itu didapati meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketiga-tiga jenazah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di Alor Gajah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, dan isterinya Zubaidah Abd Rajak, masing-masing berusia 28 tahun serta anak tunggal mereka, Muhammad Rizqi, meninggal dunia dalam kemalangan, manakala pemandu lori itu pula dikenali sebagai Mohamad Asri Abdul Razak, 43.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati Asri yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan pembahagi jalan telah berhenti di lorong paling kanan dan sedang dalam proses meletakkan kon apabila kereta dipandu Nazirul Syafiq datang dari arah belakang dan melanggar lori berkenaan.

“Akibat perlanggaran tiga maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata tiga sekeluarga itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor untuk bercuti ke Kuala Lumpur semasa kejadian. – BERNAMA 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *