Polis Perak rampas RM126 juta pelbagai jenis dadah setakat September

IPOH – Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM126 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding keseluruhan rampasan sebanyak RM40 juta yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.

“Sebanyak 5,040 daripada 5,204 kertas siasatan telah dituduh. Seramai 1,868 orang telah diambil tindakan berkaitan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah selain 4,884 orang pula diambil tindakan berkaitan pemilikan dadah.

“Turut diambil tindakan, seramai 3,200 orang berkaitan urin positif di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurutnya, Polis Perak juga melupuskan pelbagai jenis dadah antaranya heroin, ganja dan syabu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM4.7 juta membabitkan 4,845 kertas siasatan yang sudah selesai perbicaraan sejak 2003 hingga tahun ini.

“Sebanyak 15 daerah terlibat dengan pelupusan dadah pada tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *