6 anggota polis Perak ditahan ketika berhibur, ditukar ke cawangan lain – Ketua Polis Perak
Mohd Yusri (tengah) sewaktu melakukan gimik perasmian Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Aeon Mall Kinta City, di sini, pada Rabu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis Perak tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit dengan kegiatan salah laku.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ini termasuk enam anggota berpangkat koperal dan lans koperal yang ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Ipoh, Sabtu lalu.
“Kita telah ambil tindakan segera di mana arahan daripada pucuk pimpinan untuk menukarkan mereka daripada formasi (cawangan) asal ke formasi baharu sudah dibuat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ditahan dalam serbuan Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Ipoh, malam Sabtu lalu.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang anggota beragama Islam dikesan mengambil minuman keras, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, integriti dan sebagainya.
“Saya menyerahkan kepada pihak JIPS Bukit Aman dan JIPS Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka ini,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd Yusri merasmikan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Aeon Mall Kinta City, di sini, pada Rabu.
Kira-kira 400 anggota dan pegawai polis dari seluruh Perak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam hadir menderma darah pada program tersebut.
Program tersebut mendapat kerjasama daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Aeon Mall Kinta City.
#PerakKini #PDRM #JIPS #BukitAman #salahlaku #dermadarah #Ipoh #RBZ