61 PATI termasuk tekong dan pembantu tekong ditahan dalam bot dekat Pulau Talang

Sebahagian PATI yang ditahan dekat Pulau Talang awal pagi tadi. Foto: Ihsan PDRM

Oleh Rosdalilah Zahari

MANJUNG – Pasukan Polis Marin (PPM) markas Kampung Acheh dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) di 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata kesemua PATI terbabit termasuk tujuh wanita ditahan dalam sebuah bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di lokasi berkenaan kira-kira jam 2.15 pagi.

Menurutnya, pasukan terbabit bertindak selepas mendapat maklumat berhubung perkara itu daripada orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua PATI terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki iaitu tekong bot berusia 39 tahun serta dua lelaki berusia 45 dan 40 tahun iaitu pembantu tekong bot. Mereka juga dipercayai dari negara jiran.

“Mereka yang ditahan dibawa ke pengkalan Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk disoal siasat dan tindakan lanjut oleh agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata melalui siasatan awal dijalankan PATI terbabit dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM4,000 kepada ejen di negara jiran untuk masuk ke negara ini.

“Tekong bot yang ditahan turut mengaku berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Justeru, pihak polis ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan serta mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-240 1999 atau 05-245 1073,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *