669 calon SPM di Perak dapat semua A

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seramai 669 calon di Perak mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 yang diumumkan pada Khamis.

Daripada jumlah tersebut, hanya 13 orang calon mendapat keputusan semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan Perak, Mohamad Fauzi Mahson  berkata, secara keseluruhannya, seramai 27,609 orang calon telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022 dan daripada jumlah itu, seramai 24,877 calon mencatatkan keputusan layak mendapat sijil.

Menurutnya, jumlah layak mendapat sijil mencatatkan peningkatan sebanyak 4.39 peratus iaitu 90.10 peratus berbanding hanya 85.71 peratus membabitkan 24,698 calon pada tahun 2021.

“Indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan SPM 2022 menunjukkan pencapaian yang lebih baik sebanyak 0.04 mata daripada 4.96 bagu tahun 2021 kepada 4.92 tahun lalu.

“Bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 38 daripada 80 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala 36 mata pelajaran merosot dan enam pelajaran kekal.

“Mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam turut menunjukkan peningkatan prestasi dalam SPM 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2022 bagi negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak pada Khamis.

Sementara itu, Mohamad Fauzi memaklumkan seramai 89 calon berkeperluan khas (CBK) menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu.

“Empat daripada CBK merekodkan keputusan cemerlang dan salah seorang daripada calon kurang upaya penglihatan (rabun) berjaya memperoleh 11 A (7A+, 2A dan 2A-) bagi mata pelajaran yang diambil,” jelasnya.

#PerakKini #SPM2022 #Perak #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *