Perak terima sumbangan 400 lembu korban bernilai RM2.92 juta

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Perak menerima sumbangan sebanyak 400 ekor lembu bernilai RM2.92
juta untuk ibadah korban pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan tersebut diperoleh daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak.
Menurutnya, GLC yang terlibat menyerahkan sumbangan tersebut adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
“Setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah DUN Pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban.
“Agihan lembu korban ke masjid, surau dan rumah sembelihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.
“Manakala bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam pula, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah dan proses serahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN dijangka akan bermula minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri majlis akad penyerahan lembu korban sumbangan GLC di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata hasil perbincangan bersama Jabatan Mufti Negeri Perak, satu garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat akan diedarkan bagi memastikan pelaksanaan program ini berlandaskan tuntutan syarak.
“Pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” jelasnya.
#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #GLC #sumbangan #lembu #korban #RBZ
