72 kg syabu dirampas bernilai RM2.5 juta

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira 72 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta dirampas dan empat lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan pertama pada jam 5 petang, dua suspek lelaki berumur 25 dan 36 tahun ditahan di kawasan perumahan Klebang Tropika di sini dan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta menemui dadah jenis methamphetamine seberat 72.495 kg bernilai RM2,537,290 juta.

Menurutnya, hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berusia 30 dan 40 tahun di sebuah rumah di Kampung Rapat dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tersebut.

“Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati salah seorang daripadanya (suspek berusia 30 tahun) positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menyita dua kereta, sebuah motosikal, seutas rantai dan sepasang Subang warna kuning keemasan dengan nilai sitaan harta RM74,267.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal Mei lalu.

“Dadah yang dirampas disyaki bagi edaran di pasaran tempatan di negeri Perak dengan jumlah dadah itu mampu menampung permintaan dianggarkan seramai 145,000 penagih dadah,” ujarnya.

Katanya, dua suspek terbabit adalah penganggur manakala dua lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemandu lori.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

#PerakKini #PDRM #dadah #syabu methamphetamine #Ipoh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *