8 RUMAH DILANDA BANJIR

Oleh Intan Efazila Md Yusop
BIDOR: Lapan buah rumah ditengelami air kira-kira 0.6 meter dalam kejadian banjir kilat di Kampung Poh, pagi tadi, dekat sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 9.59 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian terbabit.





” Sebaik pihak bomba sampai di lokasi banjir kilat, di dapati air sudah surut di kawasan rumah terbabit dan kejadian ini tidak membabitkan pemindahan penduduk kampung itu.
” Walaupun air sudah surut, namun pihak bomba masih menjalankan pemantauan di kawasan terbabit kerana paras air di sungai berdekatan masih tinggi bagi mengambil langkah berjaga-jaga, bimbang akan berulang kembali,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, hujan yang turun lebat disusuli angin yang kuat juga menyebabkan dua pokok tumbang di Jalan Damai dekat Tapah.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Tapah telah dikejarkan ke tempat kejadian terbabit sebaik menerima laporan kira-kira jam 10.08 pagi tadi.
” Tiba di tempat kejadian di dapati dua pokok yang tumbang itu telah menghalang laluan kedua arah jalan itu.
” Pihak bomba bertindak memotong batang dan dahan pokok yang tumbang itu bagi membolehkan jalan itu boleh dilalui semula oleh pengguna jalan terbabit,” katanya.

