RINDU RAKAN SETUGAS DI HOSPITAL

Oleh Rosham Din
Rindu dan terkenang kepada rakan sekerja yang terpaksa bekerja pada Hari Raya Aidilfitri menyebabkan seorang lelaki yang juga bekas kakitangan hospital datang menjenguk dan bertanya khabar serta membawa kuih raya di Hospital Slim River (HSR), dekat sini,
Bekas kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hamdan Jaafar, 61, berkata beliau bersyukur dan bertuah pada tahun ini dan seterusnya dapat menyambut hari raya bersama keluarga kerana sebelum ini, jarang dapat dilakukan demi tuntutan kerja.
Katanya, ketika membuat persiapan dan meraikan hari raya bersama keluarga, tiba-tiba beliau teringat rakan sekerja di hospital itu yang berhari raya bersama pesakit di hospital.
“Saya amat memahami perasaan yang dialami oleh bekas rakan sekerja terutama yang sudah berkahwin terpaksa meninggalkan keluarga buat seketika demi tanggungjawab kepada tugas hakiki mereka.
” Dahulu, saya pun seperti mereka yang kadangkala berhari raya bersama pesakit dan rakan sekerja serta kunjungan ini dapat mengubat rasa rindu saya merasai suasana hari raya di hospital,” katanya.
Beliau berkata demekian, ketika ditemui semasa menyampaikan kuih raya kepada kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Slim River, dekat sini,
Hamdan berkata, perasaan apabila tidak dapat berhari raya dengan keluarga terutama bersama anak-anak dan ibu bapa hanya pertugas barisan hadapan negara yang mengetahuinya iaitu bertapa rindunya bila menyambut tanpa insan yang disayangi.
Katanya, bukannya mudah untuk menghadapinya saat ini ,namun demi tugas kepada agama, bangsa dan negara , mereka redha dan lalui demi tuntutan kerja serta bagi menyara kehidupan keluarga.
” Sepanjang bekerja di jabatan ini banyak kenangan suka dan duka sama ada bersama rakan atau pesakit ketika bertugas di hospital ini dan itulah membuat saya rindukan suasana itu.
” Saya berharap bekas rakan sekerja tabahkan hati dan teruskan tanggungjawab anda dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit di hospital ini,” katanya.

