PASANG PANJUT PENGUBAT RINDU KAMPUNG

Oleh Rosham Din

MUALLIM: Penduduk taman perumahan mengambil inisiatif memasang panjut di lorong rumah bagi mengubat rasa rindu terhadap kampung halaman terutama bagi mereka yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kira-kira 30 panjut dipasang di sepanjang lorong Taman Slim Permata, dekat Slim River itu berjaya mewujudkan suasana kampung dalam taman perumahan.

Penduduk yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Beringin, Hulu Selangor, Mohd Fadzli Ahmad, 44, berkata beliau akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKPB yang tidak membenarkan penduduk melakukan rentas negeri ketika Aidilfitri ini.

Katanya, beliau bersyukur kerana isterinya, Maslinda Amirudin, 42, berasal dari FELDA Sungai Behrang menyebabkan beliau memilih beraya di rumah mertuanya , walaupun perancangan awal mahu beraya di kampunga halamannya.

” Bila melihat penduduk taman ini memasang panjut lalu teringat kampung halaman dan keluarga di sana , namun saya redha dan tetap bersyukur masih lagi dapat beraya bersama keluarga.

“Inisiatif penduduk taman ini memang dihargai , sekurangnya rasa rindu kepada kampung halaman terubat seketika terutama ketika takbir raya berkumandang di udara,” katanya, ketika ditemui, dekat sini.

Inisiatif dan idea memasang panjut dalam taman perumahan dari salah seorang penduduk, Suffian Hadi Hasan, 41, yang membeli panjut daripada seorang penjual dari Chenderiang, Tapah, Perak.

Sementara itu, rakannya yang mengajar di SK Sungai Behrang dan berasal dari Kuala Krai, Kelantan, Kamarul Azri Awang, 41, turut beraya di rumah mertua di FELDA Sungai Behrang, Behrang juga.

Katanya, walaupun sepatututnya tahun ini giliran beraya di kampungnya ,namun beliau terpaksa melupakan hasrat itu demi mematuhi PKPB yang dikuatkuasakan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

” Bila berada di perantauan, jiran umpama keluarga dan orang yang paling dekat untuk kita meminta pertolongan terutama ketika kecemasan dan kesempatan beraya bersama jiran sudah tentu dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

” Usaha rakan dan jiran memasang panjut di kawasan taman perumahan ini memang dapat mengenangkan kembali nostalgia ketika zaman kanak-kanak semasa dibesarkan di kampung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *