MB PEJA AKAN PERHALUSI MASALAH ARAK DI PERAK

IPOH-Kerajaan negeri Perak sedang memperhalusi pelbagai cadangan berkaitan pengambilan dan penjualan arak termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan banyak kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemabuk kebelakangan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sekiranya SOP diperketat ia akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak polis, namun sebarang keputusan bakal mengikut ketetapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kita akan lihat kepada keperluan sama ada untuk membeku (pengeluaran lesen baharu) buat sementara atau hanya perlu mengeluarkan SOP yang lebih ketat dengan kerjasama pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan POP Travels Cer Citer di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata sebarang keputusan untuk terus menghapuskan penjualan arak perlu dilihat secara teliti kerana dibimbangi ia akan menyebabkan orang ramai mendapatkannya secara haram.
“Saya percaya kalau kita hapuskan terus, ia bukan perkara mudah tetapi apa yang penting adalah mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan mengehadkan kuantiti pengambilan alkohol.
“If you want to drink, drink responsibly, you don’t drink and then drive. Jangan main-main perkara ini, arak adalah satu perkara yang boleh menjadi pembunuh utama, saya risau,” katanya.
Semalam, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya bersedia menimbang cadangan untuk mengkaji semula undang-undang melibatkan penjualan arak dan sebarang keputusan perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.
