PAS LAPOR POLIS KARIKATUR HINA PRESIDEN

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad 

TAIPING– Parti Islam Semalaysia (PAS) Cawangan Larut dan Taiping  menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas pada DAP Perak atas satu posting karikatur yang dianggap menghina Presiden mereka, Datuk Seri Hadi Awang dan agama Islam.

Ketua Pemuda PAS Taiping, Amar Jamaludin, berkata susulan tular posting itu, pihaknya mewakili PAS Taiping bersama kepimpinan PAS Larut, membuat dua laporan polis hari ini bagi membolehkan siasatan dibuat pihak polis.

Menurutnya posting yang dimuat naik melalui akaun Facebook DAP Perak kira-kira seminggu lalu, dianggap sebagai keterlaluan dan menghina presiden mereka serta agama Islam.

” Apa yang kami kesalkan, karikatur itu memaparkan watak beberapa pemimpin termasuk presiden kami dan paling kami terkejut apabila perkataan ‘Takbir’ yang kami dan orang Islam laungkan, telah ditukar kepada ‘Takebeer’.

” Difahamkan posting berkenaan kini telah dipadamkan dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara terperinci dan telus,”katanya dalam sidang media di hapapan Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, hari ini.

Hadir sama Timbalan Yang Di Pertua (YDP) PAS Larut, Firdaus Hassan.

Menurutnya lagi sekiranya terdapat permohonan maaf dibuat dari pihak DAP pihaknya dengan hati terbuka namun bersyarat.

” PAS sentiasa bersikap terbuka dan menerima mohon maaf dari sesiapa sahaja.

” Cuma dalam kes ini ianya membabitkan perkataan ‘Takbir’ yang sudah pasti menyentuh sensitiviti umat islam. Kami boleh menerima maaf dari mereka (DAP) namun jangan mengulanginya lagi.

” Sekiranya berulang, kami (PAS) tidak teragak-agak untuk membuat beberapa laporan polis lagi serta tindakan undang-undang,” katanya.

Tambahnya lagi selain kawasan Larut dan Taiping difahamkan seluruh PAS kawasan negeri Perak akan membuat laporan sama malah ada diantaranya telah membuat laporan polis beberapa hari lalu.

Dalam pada itu Firdaus berkata pihaknya hari ini membuat laporan polis dibawah Seksyen 298A dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia bagi membolehkan pihak berkaitan menjalankan saisatan rapi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *