Suami isteri kantoi jadikan rumah makmal memproses dadah di Jelapang

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Tindakan sepasang suami isteri menjadikan rumah mereka sebagai makmal haram memproses dadah terbongkar apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di Jelapang, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan jam 9 malam itu sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak merampas dadah jenis heroin seberat 21.67 kilogram (kg) dan cecair jenis Heroin seberat 3.64 kg bernilai RM210,122.80.
Menurutnya, sepasang suami isteri masing-masing berusia 38 dan 30 tahun juga ditahan dalam serbuan itu.
“Turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah,” katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak pada Khamis.
Selain itu Mohd Yusri berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan pasangan terbabit dan seutas rantai leher dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM36,000.
“Siasatan mendapati pasangan suami isteri ini dipercayai bergiat aktif sejak bulan Februari lalu dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan di sekitar Perak.
“Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 47,000 orang penagih dadah,” jelasnya.
Beliau berkata ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek lelaki didapati positif dadah jenis dadah methamphetamine manakala semakan rekod jenayah ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
#PerakKini #PDRM #suamiisteri #dadah #kantoi #RBZ
