Insiden kecoh penyokong Perak-Selangor: 4 ditahan, 1 positif ganja

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Empat lelaki ditahan susulan insiden kekecohan yang berlaku antara penyokong Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun itu ditangkap dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 9.17 malam itu.
“Kejadian itu berlaku semasa perlawanan bola sepak Liga Super di antara pasukan Perak FC dan Selangor FC.
“Bagaimanapun, polis dapat mengawal kekecohan yang berlaku dan menahan keempat-empat lelaki terbabit.
“Ujian saringan air kecil ke atas salah seorang suspek mendapati positif ganja,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan kesemua suspek direman mulai hari ini.
Beliau menyeru kepada orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berbentuk video atau gambar mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Komisioner Chua Sze Yuan di talian 012-619 5312 untuk membantu mengesan penyokong-penyokong yang terlibat dalam kekecohan tersebut.
#PerakKini #tular #kecoh #LigaSuper #PerakFC #SelangorFC #Ipoh #RBZ
