Speaker tegur ADUN tidak ikut kod pakaian

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak mematuhi kod pemakaian ketika sidang DUN hari ini.

Beliau menjelaskan supaya ADUN mematuhi etika pakaian sepertimana yang termaktub dalam Perintah – Perintah Tetap DUN Perak Perkara 14(2).

“Saya ingin memanggil Yang Amat Berhormat (YAB) untuk merujuk kepada Standing Order (Perintah Tetap DUN Perak ) 14 iaitu berkaitan dengan pakaian khususnya Standing Order 14(2).

“Ahli Dewan boleh memakai pakaian kebangsaan, suit urusan atau pakaian lain yang diputuskan oleh Yang Dipertua (YDP Dewan) untuk persidangan yang lain iaitu persidangan yang biasa dan bukan berkaitan hari kalung iaitu pada istiadat pembukaan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selesai menjawab sesi soalan lisan yang dikemukakan Adun (PH-Pasir Pinji) Goh See Hua ketika Sidang DUN pada Selasa.

Mohammad Zahir berkata pada persidangan pertama Sidang DUN tahun lalu, beliau telah menetapkan bahawa suit urusan mesti lengkap bertali leher.

“Jadi saya minta pegawai-pegawai dan terutamanya YB yang tidak memakai tali leher sila mematuhi aturan mesyuarat dan sila mematuhi urusan dewan.

“Kalau rumah lain atau dewan rakyat mungkin memutuskan kaedah yang lain, tapi rumah yang ini, speaker yang ini, speaker menetapkan suit urusan, kalau pakai suit mestilah memakai tali leher.

“Saya minta dalam tempoh yang berbaki hari ini YB atau pegawai kerajaan yang hadir saya tak nak sebut di sini untuk menghormati keputusan dewan ini,” katanya.

Antara ADUN dan pegawai kerajaan yang dipercayai tidak mematuhi kod etika pakaian ditetapkan pada hari ini adalah ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

#PerakKini #SidangDunPerak #SpeakerDunPerak #tegur kod pakaian #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *