Perak mula terima RM1.66 juta hasil royalti latanid – MB Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Hasil perlombongan nadir bumi latanid yang sedang dilaksanakan di Mukim Kenering, Gerik membuahkan hasil apabila kerajaan negeri mula menerima royalti RM1.66 juta pada Februari tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hasil tersebut diperoleh melalui pengeksportan pertama nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.1945 tan metrik.
Menurutnya, Projek Perintis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu memulakan operasi pada bulan Oktober tahun lalu selepas mendapat kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.
“Sehingga kini, sebanyak 4,477.039 metrik tan REC telah dieksport ke China melalui empat penghantaran (shipment) iaitu pada Februari, Mac dan April tahun ini manakala Baki. REC di tapak adalah sebanyak kira-kira 1,000 tan metrik,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan lisan yang dikemukakan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata
mengenai aktiviti hiliran (downstream) berkaitan projek perlombongan NR-REE kerajaan negeri komited untuk mewujudkan pusat pemprosesan di Perak.
“Kewujudan pusat pemprosesan NR-REE di negeri ini adalah sebagai aktiviti industri hiliran bagi menghasilkan semi-produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi jika dibandingkan dengan produk mentah NR-REE.
“Hasrat ini dizahirkan kepada Kerajaan Persekutuan yang mana tiga lokasi strategik telah ditawarkan memandangkan tapak-tapak berkenaan adalah berstatus tanah kerajaan negeri dan juga tanah milik syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Negeri, iaitu di Muallim; Bandariang, Hulu Perak dan Silver Valley Technology Park, Kanthan, Kinta.
“Pembangunan pusat pemprosesan NR-REE wajar dilaksanakan di Perak terlebih dahulu memandangkan negeri ini adalah penggerak utama pengenalpastian sumber mineral yang juga negeri pertama menjalankan projek perintis seumpamanya,” jelasnya.
#PerakKini #latanid #royalti #SidangDunPerak #RBZ
