7 lelaki termasuk warga emas ditahan kutip parkir haram di Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Padah mengutip bayaran secara haram, tujuh lelaki termasuk warga emas diberkas menerusi operasi khas terhadap penjaga parkir haram yang dijalankan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata operasi yang diadakan selama dua hari itu membabitkan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Pekan Bharu.
“Hasil daripada operasi dua hari ini, seramai tujuh orang penjaga tempat parkir haram lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 40 hingga 66
tahun telah ditangkap di sekitar pusat bandar raya Ipoh di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan 1987 (gangguan dan desakan menyalahi undang-undang),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata sepanjang 2023 bagi tempoh 1 Januari sehingga hari ini sebanyak 42 tangkapan dilakukan IPD Ipoh menerusi operasi-operasi khas yang dijalankan ke atas penjaga parkir haram.
“Polis memandang serius terhadap masalah penjaga tempat parkir haram di kawasan
tumpuan pelancong di sekitar pusat bandar raya Ipoh yang mendatangkan gangguan kepada orang awam dan pelancong,” ujarnya.
Yahaya turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan maklum balas sehingga polis berjaya memberkas penjaga-penjaga tempat parkir haram tersebut.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang bayaran kepada penjaga tempat parkir haram dan bolehlah mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-254 2222, “jelasnya.
#PerakKini #PDRM #parkirharam #jaga #RBZ
