Rumah pengusaha kerang ditembak individu tidak dikenali

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

KUALA KURAU – Seorang pengusaha kerang berdepan detik cemas apabila rumahnya yang terletak di Kuala Gula, Kuala Kurau di sini ditembak individu tidak dikenali awal pagi Selasa.

Dalam kejadian tersebut, pengusaha kerang berusia 56 tahun bersama isteri dan empat orang anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 3 pagi.

Menurutnya, pihak polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan mendapati  mangsa iaitu pemilik rumah berkenaan tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya.

“Mangsa memberitahu terdengar bunyi letupan di luar rumah pada waktu kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

“Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut, mangsa dan keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

#PerakKini #PDRM #tembak #rumah #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *