ADUN Tronoh didapati bersalah kes rogol pembantu rumah, dipenjara 13 tahun, dua sebatan

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan dua sebatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong bersalah di atas tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia kira-kira tiga tahun lalu. - Foto: BERNAMA

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong bersalah di atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berikutan itu, Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan ke atas Choo Kiong.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, sebagai majikan, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa, lebih-lebih lagi mangsa merupakan seorang warga asing yang datang untuk mencari rezeki.

Menurutnya, tindakan tertuduh diibaratkan seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

Justeru, beliau berharap hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh akan menjadi pengajaran kepada mereka yang berniat untuk berbuat perkara sama.

Terdahulu, Rajpal memohon mahkamah mengenakan hukuman minima dan mengenepikan hukuman sebatan kerana tertuduh banyak berjasa kepada masyarakat sepanjang menjadi ADUN selama sembilan tahun.

Katanya, tertuduh juga menyara seorang isteri yang tidak bekerja di samping empat anak yang masih belajar.

Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan itu adalah serius dan ia meragut maruah mangsa sehingga menyebabkannya trauma.

Katanya, sebagai ADUN, tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada orang lain.

Sementara itu, Setiausaha Pertama Kedutaan Indonesia ke Malaysia, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menunjukkan sistem perundangan negara ini yang adil.

Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Sepanjang prosiding berlangsung, pendakwaan dikendalikan Azlina, dengan dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri, manakala pembelaan diwakili Rajpal dan Salim Bashir.

#PerakKini #AdunTronoh #rogol #pembanturumah #Indonesia #bersalah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *