Akibat tidak puas hati, jurulatih, pemain bertindak kejar pengadil
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sekumpulan jurulatih dan pemain bertindak mengejar pengadil selepas dipercayai tidak berpuas hati atas keputusan dalam satu perlawanan bola sepak yang berlangsung di padang Taman D R Seenivasagam, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya terkesan mengenai insiden tersebut melalui video berdurasi 49 saat yang tular di media sosial pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa perlawanan separuh akhir liga bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Ipoh membabitkan dua kelab bola sepak tempatan kira-kira jam 6.55 petang.
Katanya, semakan mendapati pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung insiden tersebut.
“Dalam kejadian itu, sekumpulan jurulatih dan pemain yang kalah dalam perlawanan bola sepak tersebut berasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil lalu mengejar pengadil-pengadil selepas perlawanan berakhir.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pergaduhan berlaku dalam kejadian tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat palsu mengenai rakaman video tersebut sehingga mendatangkan kegusaran di kalangan masyarakat umum.
#PerakKini #PDRM #bolasepak #RBZ