Askar hilang di Hutan Belum ditemui meninggal dunia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang anggota tentera dari Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika sedang menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, Gerik pada Jumaat lalu di ditemui meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mayat lelaki berusia 33 tahun itu dijumpai kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

“Hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 7 April berkaitan kehilangan seorang lelaki anggota tentera daripada Batalion Ke-25 RAMD Kem Sri Bentong di Hutan Simpan Belum telah menemukan satu mayat dipercayai anggota tentera tersebut pada 12 April jam 10.15 pagi.

“Mayat (mangsa) tersebut akan dibawa ke Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.

Mohd Yusri mewakili Polis Perak turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Setakat ini polis belum mendedahkan identiti mangsa namun di media sosial seperti Facebook, berita berkaitan kehilangan anggota terbabit adalah Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib.

Foto Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib di dalam hantaran Facebook Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Isnin lalu media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira jam 5 petang pada Jumaat.

Kehilangan mangsa kemudiannya dilaporkan kepada polis pada jam 12.50 tengah malam Ahad lalu.

Usaha SAR dijalankan ATM bermula pada hari yang sama mangsa hilang iaitu 7 April.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melalui hantaran di Facebooknya memaklumkan  jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Pulau Mertajam, Penaga.

Dalam hantaran itu, beliau berkata Allahyarham Koperal Mohammad adalah anak kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar.

“Urusan membawa pulang jenazah sedang diruskan pihak tentera. Jenazah akan di solat dan dikebumi di Pulau Mertajam.

“Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya.

#PerakKini #PDRM #ATM #askar #hilang #ditemui #meninggaldunia #HutanSimpa nBelum #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *