Bas ekspres terbabas dalam parit, pemandu cedera, 21 penumpang selamat

Foto: JBPM Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang pemandu bas cedera manakala 21 orang penumpang terselamat selepas bas ekspres yang mereka naiki dipercayai terbabas ke dalam parit dalam insiden yang berlaku di Jalan Kuala Sungai Manik, Teluk Intan awal pagi tadi.
Difahamkan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim itu dipercayai melanggar tiang elektrik di sebelum terbabas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah bas ekspres terbabas ke dalam parit.
“Ketika kerja menyelamatkan dijalankan kita menemui seorang pemandu bas mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, 21 orang penumpang yang menaiki bas itu didapati selamat dan keluar sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata anggota bomba menjalankan rawatan awal ke atas mangsa yang mengalami kecederaan dan kemudian menyerahkannya kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan susulan.
Operasi yang diketuai PPgB Mohd Ismail Mohd Yunus itu tamat pada jam 7.48 pagi.
#PerakKini #JBPM #kemalangan #bas #TelukIntan
