‘Bayar RM300,000 atau sebar surat layang’ – Calon DUN Hulu Kinta dakwa diugut ketika berkempen

Mazlan menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Tambun, tengah hari semalam.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kinta Datuk Mazlan Abd Rahman mendakwa menerima ugutan daripada pihak tidak dikenali untuk membayar RM300,000 ketika beliau sedang berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Mazlan ketika ditemui pada sidang media di Bandar Baru Tambun pagi ini berkata beliau menerima mesej berbaur ugutan itu daripada nombor tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp sebanyak dua kali.

Menurutnya, kali pertama pada jam 6.01 petang Selasa lalu dan yang terbaru adalah pada jam 11.34 pagi Khamis.

Bimbang akan keselamatannya terancam, beliau membuat laporan di Balai Polis Tambun pada jam 12.54 tengah hari semalam.

“Saya rasa ini adalah satu yang tidak baik dan tidak sihat, sebab sepanjang saya berkempen saya tidak pernah mengata orang.

“Masyarakat dalam (DUN) Hulu Kinta ini hanya mengenali saya dengan kerja dan perkhidmatan.

“Saya tidak tahu ini (ugutan) datang dari siapa, saya pun tiada nak menuduh sesiapa, biarlah pihak polis yang menyiasat benda ini.

“Dari segi saya, kalau dapat (siapa mengugut) saya memang nak membawa perkara ini ketengah supaya biar satu pengadilan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata ugutan yang diterima ketika beliau sedang rancak berkempen bukan alasan untuknya menarik diri, sebaliknya perjuangan diteruskan demi rakyat di DUN Hulu Kinta.

“Ugutan ini pada saya dalam waktu saya berkempen, untuk saya menarik diri tidak sesekali, saya akan meneruskan perjuangan saya untuk rakyat di DUN Hulu Kinta, namun nak membayar RM300,000 saya memang takda duit, saya mengharapkan sangat-sangat pihak polis dapat menangkap orang yang menghantar mesej WhatsApp tersebut,” ujarnya.

Mazlan berkata, sepanjang berkempen beliau tidak ada menyentuh peribadi orang, walaupun peribadi calon lain yang turut bertanding pada PRU15 ini.

“Kita mengharapkan semua berkempen dengan cara yang sihat dan bersih supaya demokrasi itu boleh dizahirkan atau ditafsirkan oleh masyarakat pada 19 November depan.

“Justeru, perkara ini tidak akan mematahkan semangat kerana saya sudah lama memperjuangkan politik hampir 28 tahun, bermakna saya telah melalui liku-liku dan proses. Semoga dipermudahkan ALLAH SWT dalam berkempen,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri  dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan polis daripada calon berusia 50 tahun itu.

Menurutnya, mangsa menerima ugutan tersebut daripada nombor telefon yang tidak dikenali sewaktu berkempen. “Mangsa diugut supaya membayar RM300,000 dan jika gagal berbuat sedemikian, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular di media sosial bagi memburukkan mangsa dengan niat menjatuhkan mangsa,” katanya.

Susulan daripada itu, Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya, ahli politik yang berkempen juga diingatkan agar tidak sesekali melakukan perbuatan pemerasan dan ugutan terhadap pihak lawan.

#PerakKini #PDRM #BarisanNasional #DUNHuluKinta #ugutan #PRU15

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *