Tujuh individu termasuk satu wanita ditahan edar dadah methamphetamine 10.1 kg

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah jenis methamphetamine seberat 10.1 kilogram bernilai RM713,300 di Sunway City, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis pada mulanya menahan tiga lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun bersama dadah tersebut di dalam sebuah kereta pada jam 1 pagi sebelum menyerbu sebuah rumah di kawasan sama.

Menurutnya, setibanya di rumah tersebut, polis menahan tiga lelaki bersama wanita yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 48 tahun.

“Susulan penahanan itu, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas semua suspek dan mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu, empat daripada tujuh suspek yang ditahan turut mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada Rabu.

Katanya, dadah yang dirampas dipercayai mampu menampung 20,000 orang penagih dadah sekitar Ipoh.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama enam hari sehingga Ahad ini.

#PerakKini #PDRM #dadah #methamphetamine #SunwayCity #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *