Berang dituduh hisap dadah, suami bertindak bakar isteri
Oleh Rosdalilah Zahari
MANJUNG – Berang dituduh menghisap dadah, seorang lelaki bertindak membakar isterinya sehingga mati dalam kejadian di Kampung Bharu, Sitiawan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata insiden itu berlaku di rumah mereka pada Isnin lalu.
Menurutnya, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 11 malam semalam di sebuah restoran di Lumut berserta rampasan.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa dan keluarganya kerana menuduh suspek mengambil dadah.
“Mangsa yang berumur 33 tahun menerima rawatan di Hospital Seri Manjung disahkan meninggal dunia pada hari ini oleh pegawai perubatan pada jam 12.20 tengah hari dan bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini dan direman selama tujuh hari sehingga 18 Julai bagi siasatan lanjut.
“Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #bunuh #bakar #isteri #Manjung #RBZ