Bilangan guru pilih bersara awal lebih ramai berbanding bersara wajib di Perak – Khairudin

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Bilangan guru yang memohon bersara awal adalah lebih ramai daripada bersara wajib di negeri ini walaupun umur bersara wajib adalah antara 55 hingga 60 tahun.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum menerima statistik berhubung perkara itu.

Menurutnya, kebanyakan guru memilih untuk bersara awal atas faktor bebanan tugas dan tidak mampu mengikuti sistem perkembangan pendidikan kini lebih ke arah pendigitalan.

Katanya, guru yang memilih untuk bersara awal kebanyakkannya sudah berkhidmat lebih dua puluh lima tahun dan ke atas.

“Ini (bersara awal) ada faktor menarik dan faktor menolak yang perlu kita lihat.

“Faktor menariknya sebab mereka (guru) sudah tiada tanggungan, anak habis belajar dan sudah bekerja, kemudian suami atau isteri sudah pencen. Jadi, apabila tinggal dia yang bekerja, dia ambil keputusan itu (bersara awal),” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program 3R (Read, Record and Reward) di Perpustakaan Awam Cawangan Datuk Seri Husni, Chemor pada Rabu.

Khairudin berkata bagi faktor menolak pula mungkin guru terbabit tidak boleh menguasai dan mengikuti sistem perkembangan pendidikan yang sentiasa dinamik.

“Ini kerana berlaku perubahan dengan sistem (pengajaran dan pembelajaran) secara online dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut data Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2022, seramai 5,306 guru atau 1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru memilih untuk bersara awal.

#PerakKini #KPM #guru #bersaraawal #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *