KPKM cadang perluas penganjuran FAMA Fest ke seluruh negara

Oleh Rosdalilah Zahari
GOPENG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk memperluaskan penganjuran Program Fiesta Makanan, Bunga dan Buah (FAMA Fest) ke seluruh negara pada masa hadapan.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin sebanyak lima siri penganjuran disasarkan pada tahun ini bermula di Sarawak pada Februari lalu dan diikuti Perak, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu.
Menurutnya, Perak FAMA Fest 2023 yang sedang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad depan bertujuan untuk mewujudkan platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka dan juga untuk menyampaikan perkhidmatan FAMA kepada rakyat.
“Saya difahamkan pada tahun ini FAMA akan menganjurkan lima program FAMA Fest di seluruh negara. Bermula pada bulan Februari lalu di Miri, Sarawak yang turut dirasmikan oleh saya. Sekarang di Perak dan seterusnya di Johor, Penang dan Terengganu.
“Keseluruhan nilai sasaran jualan adalah sebanyak RM5 juta dengan penglibatan seramai 300 orang usahawan.
“Bagi negeri Perak kita menyasarkan RM2 juta dengan jangkaan pengunjung dianggarkan sekitar 100,000 sepanjang lima hari program berlangsung” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan program tersebut di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Khamis.
Foong Hin berkata pihak kementerian dan FAMA melalui penganjuran program Perak FAMA Fest ini secara tidak langsung membolehkan pengguna memperolehi produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga yang berpatutan.
“Usahawan dan pengeluar produk pertanian dan industri makanan asas tani juga mempunyai platform untuk memasarkan produk jualan mereka di samping dapat mempromosi dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih meluas lagi.
“Di samping itu, diharapkan juga rakyat dapat memperolehi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih jelas lagi, di samping kesedaran rakyat berkaitan aktiviti dan dasar-dasar kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat dapat ditingkatkan.
“Melalui program ini juga, diharapkan agar isu-isu atau pertanyaan dari masyarakat dapat dijawab dan diselesaikan dengan kadar yang lebih cepat,” katanya.
Beliau berharap program seperti ini dapat menimbulkan minat orang ramai terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang pemasaran pertanian dan industri makanan asas tani kerana bidang ini mempunyai masa depan yang cerah.
#PerakKini #KPKM #FAMA #FAMAFest2023 #RBZ
