Budak perempuan 1 tahun 9 bulan lemas jatuh kolam renang rumah datuk

Foto: Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang budak perempuan berusia satu tahun sembilan bulan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam renang kanak-kanak di rumah datuknya di Tambun, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata ketika kejadian mangsa bersama kedua ibu bapanya masing-masing berusia 31 dan 33 tahun berada di rumah berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga.

Menurutnya, pada jam 8.45 malam mangsa ditemui oleh bapanya dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang tersebut.

Katanya, mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat telah dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari ini dan punca kematian mangsa adalah mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau di penjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Yahaya menasihatkan dan mengingatkan orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawak Jagaan masing-masing ditinggalkan tanpa pengawasan bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini.

#PerakKini #PDRM #lemas #raya #Aidilfitri #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *