Buruh di bawah pengaruh dadah ugut tetak ibu, serang polis maut ditembak

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang buruh yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah maut akibat terkena tembakan selepas bertindak agresif membaling kipas angin sambil menghayunkan parang kepada polis dalam kejadian di Hutan Melintang, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian dalam kejadian jam 10.30 malam itu suspek, lelaki tempatan berusia 44 tahun, enggan memberi kerjasama kepada polis malah bertindak agresif serta mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya.

“Suspek turut meletakkan parang tersebut di leherĀ  mangsa (ibu suspek) berusia 72 tahun itu dan menuntut polis untuk beredar.

“Bimbang akan keselamatan mangsa, polis sedaya upaya memujuk suspek untuk bertenang, namun dia (suspek) memeluk mangsa sambil mengacukan parang dan gunting kepada mangsa.

“Kemudian, polis secara berhati-hati memotong pintu jerlji yang dikunci dari dalam oleh suspek menggunakan pemotong besi.

“Bagaimanapun, selepas suspek menyedari kehadiran polis yang berjaya masuk ke dalam rumah, suspek menolak mangsa sehingga jatuh dan pengsan serta membaling kipas angin sambil menghayunkan parang ke arah polis yang cuba menangkapnya.

“Di atas faktor ancaman nyawa yang dihadapi pihak polis, satu das tembakan dilepaskan ke arah suspek dan terkena bahu kiri sehingga menyebabkan dia rebah ke lantai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mohd Yusri berkata tembakan itu menyebabkan suspek meninggal dunia di lokasi dan bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari ini.

Katanya, siasatan polis turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 307 kanun keseksaan iaitu cubaan bunuh serta mati mengejut (SDR),” jelasnya.

#PerakKini #tembak #mati #dadah #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *