Mayat wanita warga emas ditemukan dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang wanita warga emas ditemukan mati dalam keadaan separuh bogel dengan kesan tikaman dan lebam di beberapa bahagian badan di bilik tidur rumahnya di Kampung Tersusun, Simpang Lima, Kerian dekat sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima panggilan memaklumkan berhubung penemuan mayat berusia 61 tahun itu kira-kira jam 6.45 petang dan bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian menemukan mayat mangsa terbaring di dalam bilik tidurnya dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam serta dinding.

“Terdapat juga kesan luka potong dan tikaman pada telinga, leher serta pipi mangsa serta kesan lebam pada kedua-dua lengan mangsa dipercayai akibat pergelutan dengan suspek dalam usaha mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berdasarkan terdapat kesan umpil pada tingkap dan tiga keping cermin turut ditanggalkan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan di dalam rumah mangsa mendapati tiada barang-barang berharga milk mangsa yang hilang,” jelasnya.

Menurutnya, keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman pada bahagian leher.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua BSJ IPD Kerian Asisten Superintendan Amri Mat Nayan atau balai polis berhampiran,” katanya.

#PerakKini #PDRM #bunuh #wargaemas #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *