Dua pemandu lori ditahan, 13,000 liter diesel subsidi disita depan bengkel lori
Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR – Dua pemandu lori warga tempatan ditahan bersama kira-kira 13,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di hadapan bengkel lori, Jalan Degung, dekat sini, awal pagi tadi.
Serbuan itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melalui Ops Tiris 2.0 pada jam 6.20 pagi.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan operasi ini adalah hasil risikan selama dua minggu yang dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa KPDN Perak berdasarkan maklumat orang awam.
Menurutnya, pasukan risikan menemui dua buah lori tangki disyaki sedang melakukan aktiviti jual beli minyak diesel melalui pemindahan dari tangki ke tangki lori berkenaan di hadapan sebuah bengkel lori.
“Modus operandi sindiket ini dipercayai mengunakan lori tangki yang diubahsuai daripada tangki asal kenderaan dan membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Kampar.
“Kemudiannya bergerak ke suatu lokasi terpencil dan menjualnya terus kepada lori tangki pembeli dan aktiviti ini dilakukan pada awal pagi bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua buah lori tangki tersebut menemui anggaran sebanyak 13,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki lori tersebut.
“Dua pemandu lelaki tempatan berumur 25 dan 32 tahun yang ditemui ditempat kejadian telah ditahan untuk siasatan.
“Pemandu lori gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.
“Sehubungan itu, cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran 13,000 liter, dua buah lori tangki telah disita yang bernilai sebanyak RM428,450,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
#PerakKini #KPDNPerak #selewengdiesel #RBZ