Dua lelaki ditahan, kantoi sorok diesel dalam ladang kelapa sawit
Oleh Rosdalilah Zahari
TAPAH – Penemuan dua tangki skid yang mengandungi 20,000 liter minyak diesel di sebuah stor kawasan ladang kelapa sawit di sini semalam membongkar kegiatan penyelewengan minyak tersebut di Kuala Bikam, Bidor dekat sini.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melalui Ops Tiris kira-kira jam 12 tengah hari. semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan operasi ini adalah hasil maklumat risikan selama dua minggu yang dilakukan penguat puasa terhadap aduan awam berhubung aktiviti pembelian minyak diesel melibatkan sebuah lori bertutup kanvas yang disyaki mengubahsuai tangki asal.
Menurutnya, lori tersebut digunakan untuk mengisi minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Tapah.
Katanya, pasukan risikan menemui sebuah stor tanpa nama di sebuah ladang sawit yang disyaki digunakan sebagai tempat untuk menyimpan sementara sebelum minyak diesel tersebut dijual kepada pihak yang berkaitan.
“Hasil serbuan ke atas stor haram itu menemui dua buah tangki skid dengan anggaran jumlah sebanyak 20,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel.
“Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun yang mengaku sebagai pemilik stor ditemui bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk menyukat dan mengepam cecair serta sebuah lori bertutup kanvas dengan dua buah tangki IBC di dalamnya yang disyaki digunakan untuk membeli minyak diesel.
“Malah, pemilik stor juga gagal untuk mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.
“Ketika pemeriksaan dilakukan seorang pemandu lori tangki berumur 56 tahun yang disyaki datang ke stor tersebut untuk membeli minyak diesel turut berada di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan.
“Cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran 20,000 liter, sebuah lori kanvas dengan dua buah tangki IBC dan sebuah lori tangki minyak serta peralatan mengepam cecair bernilai RM318,500 turut disita.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
#PerakKini #KPDN #diesel #seleweng #OpsTiris #RBZ