Lima lelaki edar dadah tak sampai sebulan ditahan, polis rampas RM1.57 juta dadah
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kelicikan lima rakan sepenjenayah menjalankan sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan methamphetamine berakhir apabila mereka ditahan di dalam dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan pertama sepasukan pegawai serta anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat, di sini kira-kira jam 9.15 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan di dalam kereta itu menemui dadah jenis ketamin seberat 26.178 kilogram (kg), cecair disyaki ketamin dengan berat 3.350 liter serta dadah jenis methamphetamine seberat 1.82 gram.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah itu adalah RM1,571,040.
“Susulan daripada serbuan tersebut, dua lagi suspek berusia 21 dan 27 ditahan di sebuah rumah di Kampung Rapat, Ipoh dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ketamin.
“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis THC (ganja).
“Hasil semakan ke atas kelima-lima suspek mendapati empat daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Jumaat.
Mohd Yusri berkata tiga daripada suspek masing-masing bekerja sebagai penjaga stor kilang, tukang cuci kenderaan dan kelindan lori manakala dua lagi tidak bekerja.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan dua motosikal serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM30,380.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk harta disita adalah sebanyak RM1,601, 420,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan sindiket terbabit dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran di sekitar Perak sejak awal bulan ini serta dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 52,352 orang penagih dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kelima-lima suspek direman selama tujuh hari mulai semalam hingga 27 September bagi membantu siasatan,” katanya.
#PerakKini #PDRM #dadah #ketamin #methamphetamine #RBZ