Dua remaja Thailand ditahan salah guna surat sokongan Ketua Polis Perak kutip derma
Oleh Rosdalilah Zahari
GOPENG – Dua remaja warganegara Thailand ditahan selepas menyalahguna surat sokongan Ketua Polis Perak bagi tujuan mengutip derma.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti meminta sedekah tanpa kebenaran di hadapan sebuah bank di Gopeng tersebut kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, salah seorang dari suspek didapati memiiki pas lawatan yang telah tamat tempoh.
“Soal siasat yang dijalankan mendapati kedua suspek terbabit memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan dan menjadi sukarelawan bagi Pertubuhan Kebajikan Raudhah Malaysia yang beralamat di Taman Ipoh, dekat sini.
“Suspek didapati secara salah menggunakan surat sokongan yang ditandatangani oleh Ketua Polis Perak dengan memegang tabung yang dilekatkan surat bagi tujuan meminta derma di sekitar kawasan Gopeng,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata kedua suspek ditahan di bawah Seksyen 3 (3) Akta Pungutan Derma Rumah ke Rumah dan Jalan 1947 dan Seksyen 5B Akta Imigresen 1959/1963.
“Justeru, pihak polis mengingatkan kepada orang ramai agar tidak sesekali menyalahgunakan kebenaran yang diberikan bagi tujuan yang tidak sah di sisi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan boleh menghubungi pihak polis di balai polis berhampiran,” katanya.
#PerakKini #PDRM #salahguna #SuratKetuaPolisPerak #RBZ