MUSIM PETAI DI SLIM RIVER
Oleh Intan Efazila Md Yusop
SLIM RIVER: Musim petai di daerah ini baru bermula menyebabkan peraih dan penjual petai mulai sibuk menjual hasil hutan itu bagi menyara kehidupan seharian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dekat sini.
Kawasan perkampungan orang Asli yang terletak di Ulu Slim, Slim Village berhampiran Banjaran Titiwangsa dikenalpasti sebagai kawasan pengeluaran petai yang utama di daerah ini.
Selain itu, perkampungan Melayu, iaitu Kampung Sungai Jurong, Kampung Balun dan Kampung Sungai Behrang yang biasanya ditanam oleh penduduk kampung juga merupakan tempat pengeluaran petai.
Peniaga petai di pekan Slim River, Kamaruzaman Abdul Aziz, 47, berkata terdapat lima jenis petai yang dibiasanya dijual dan ditemui di kawasan ini, iaitu petai padi, petai papan, petai kacang, petai limbat dan petai belalang.
Katanya, beliau memperolehi petai dari orang Asli di Kampung Ulu Slim dengan harga mengikut jenis petai, keadaan petai itu, sama ada muda atau tua serta kekerapan mata petai dan saiz mata petai itu.
” Jika musim petai, harga bagi 100 papan petai kira-kira RM 60.00 dan jika bukan musim harganya melonjak kepada RM 120.00 tetapi bergantung kepada jenis petai dan keadaan petai itu.
” Petai padi amat popular dalam kalangan masyarakat Cina kerana petai ini dipercayai lebih lemak isinya, rapuh dan rasanya kurang pedar jika dibandingkan dengan jenis petai yang lain, ” katanya ketika ditemui, dekat Slim River.
Sementara itu, peniaga petai dekat Kampung Balun, Ali Abd Hamid, 37, pula berkata permintaan petai semakin meningkat bermula bulan Ramadan yang lalu menyebabkan beliau kerap ke kawasan Ulu Slim bagi mendapatkan bekalan petai.
” Orang Melayu khususnya lebih gemar makan petai papan untuk dijadikan menu masakan atau ulam kerana mata petai ini biasanya lebih besar , apatah lagi yang sudah tua, rasanya lebih sedap.
“Ketika musim petai, harga bagi 10 papan biasanya dijual dengan harga RM 10.00 dan dan RM 5.00 bagi empat atau lima papan , juga bergantung kepada keadaan petai itu.
” Bagi petai yang mempunyai mata yang agak besar dan kedudukan mata itu rapat, harganya lebih mahal sedikit terutama petai yang sudah cukup tua jika dibandingkan dengan petai muda didapati harganya lebih murah,” katanya.
Bagi peniaga petai yang sudah 20 tahun menjual petai, P.Menachi, 68, berkata beliau bersyukur kerana dalam tempoh PKPB peniaga kecil terutama penjual hasil hutan dapat menjual kembali di pekan Slim River.
Katanya, jualan petai merupakan hasil pendapatan utama bagi menyara kehidupan beliau sekeluarga dan beliau gembira kerana kembali dapat menjual hasil petai setelah pendapatannya terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.