Insiden Litar Dato’ Sagor: Mangsa maut akibat kecederaan di kepala, pendarahan paru-paru

Foto: Tangkap layar sewaktu kejadian di media sosial.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kecederaan parah di bahagian kepala dan pendarahan paru-paru adalah punca kematian seorang penonton yang terbabit dalam insiden dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas ketika Pertandingan “CCT Battle of Champion” di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa lelaki berusia 32 tahun, seorang pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting, Taiping disahkan meninggal dunia sewaktu dirawat di wad kecemasan hospital tersebut jam 5 petang.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
“Berikutan itu siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, terdapat 12 kereta Proton Satria sedang beraksi dalam perlumbaan lima pusingan bagi kategori 1,800cc sebelum dua daripadanya bergesel lalu sebuah daripadanya terbabas ke kanan laluan litar dan melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan diberikan rawatan segera oleh sepasukan pegawai perubatan yang berada di kawasan tersebut sebelum mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 5 petang hari yang sama semasa dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan,” katanya.
#PerakKini #maut #dirempuh #keretalumba #LitarDatoSagor #PasirSalak
