KPDN Perak tahan dua lelaki dipercayai sindiket seleweng minyak bersubsidi, sita 7,600 liter diesel

Foto: KPDN Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Dua lelaki tempatan ditahan serta 7,600 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM102,640 dirampas dalam serbuan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Taman Perindustrian Tungzen, di sini, petang semalam.
Selain itu, peralatan kelengkapan juga disita, serta tiga buah lori yang disyaki diubah suai bagi membeli minyak diesel di stesen minyak berhampiran turut dirampas dalam serbuan tersebut.
Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak telah melaksanakan satu operasi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di kawasan perindustrian tersebut kira-kira jam 1.30 petang.
Menurutnya, sebelum itu pihaknya menjalankan intipan selama dua minggu berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Simpang Pulai dan Gopeng.
“Melalui hasil intipan yang dijalankan, kita berjaya mengesan sebuah lori kanvas dalam keadaan mencurigakan yang disyaki sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak berjenama.
“Kemudian, kita mendapati lori kanvas ini mengisi minyak di stesen terlalu lama iaitu selama lebih kurang satu jam.
“Curiga dengan keadaan tersebut, kita mengekori pergerakan lori kanvas itu dan menemui satu lokasi premis pusat pengumpulan minyak disyaki diesel di Taman Perindustrian Tungzen yang juga disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua skid tangki berisi minyak disyaki diesel berada di premis tersebut.
“Pemeriksaan ke atas lori pula telah menjumpai dua buah ‘square tank’ berisi minyak disyaki diesel berada di atas lori yang dilitupi kanvas.
“Dua lelaki berusia 42 dan 32 tahun disyaki pemandu serta pemilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.
#PerakKini #KPDNPerak #rampas #subsidi #diesel
