Isu tafsir ayat Al-Quran: Saya minta maaf – Howard Lee

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How tampil membuat permohonan maaf berhubung isu membuat tafsiran sendiri ke atas ayat al-Quran dalam satu hantarannya di media sosial yang tular sejak minggu lalu.

Permohonan maaf itu dibuat dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur di Jalan Pasir Puteh sejurus selepas beliau selesai memberi keterangan polis sekitar jam 2 petang pada Selasa.

Howard Lee berkata beliau tidak berkesempatan untuk membuat permohonan maaf sejak isu itu mula hangat ditularkan kerana menghadiri Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat selama seminggu.

“Saya ambil kesempatan di sini untuk meminta maaf atas segala kesulitan dan memohon maaf bagi semua pihak termasuk semua rakan-rakan bukan Islam dari parti lain termasuk Gerakan dan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) yang turut memetik ayat suci al-Quran dalam konteks politik.

“Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi cadangan ikhlas, tulus, bernas untuk saya tidak mengulangi kenyataan dengan memetik ayat suci Al-Quran dalam penghujahan konteks politik,” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu turut menyatakan rasa sangsi terhadap Pas yang pada suatu masa dahulu sewaktu berada di bawah wadah perjuangan sama dengan DAP, Pas menggalakkan supaya mereka yang bukan Islam menyelami maksud di sebalik al-Quran.

“Saya sangsi kerana dahulunya sewaktu DAP satu wadah dengan Pas boleh sahaja malah digalakkan untuk belajar mendalami, menyelami maksud di sebalik Al Quran, namun sekarang pula tak boleh.

“Kenapa anggota DHPP boleh saja baca, lafaz dalam bahasa Arab asal al-Quran tetapi saya pula yang tak tafsir, bukan lafaz bahasa Arab asal, diserang bertubi-tubi dan tak boleh.

“Jadi saya juga ingin bertanya sama ada pihak dari DHPP adakah laporan polis telah dibuat terhadap mereka?,” ujarnya.

Beliau menegaskan sebelum memuat naik sebarang hantaran di media sosial bagi mana-mana topik bukan sahaja berkaitan agama Islam termasuk yang bukan kepakaran beliau akan buat kajian sendiri, bertalaqqi dan bermuzakarah dengan beberapa orang alim serta ustaz.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri menyelar tindakan Howard Lee yang disifatkan sebagai kurang ajar serta mendakwa Ahli Parlimen Ipoh Timur itu mentafsir serta memutarbelit tafsir ayat 59, surah An-Nisa yang dimuat naik dalam akaun TikTok milik pemimpin DAP itu.

#PerakKini #DAP #tular #alQuran #RBZ

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *