Perak terima royaliti NR-REE RM16 juta
Foto Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Perak menjana hasil royalti hampir RM16 juta melalui projek perintis perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang sedang dilaksanakan di Mukim Kenering, Hulu Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata (BN-Kota Tampan) berkata hasil royalty tersebut diperoleh melalui pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke negara China sebanyak 10 kali sehingga Julai lalu.
Menurutnya, projek perintis ini turut membuktikan bahawa nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui ‘in situ reaching’ adalah kaedah yang terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Susulan kejayaan projek perintis ini, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan seluas 2.023 hektar yang sudah mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mohd Fakhrudin Abd Aziz (Pas-Kamunting) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan negeri menerima royalti pertama sebanyak RM1.66 juta pada Februari lalu melalui pengeksportan pertama REC ke China sebanyak 296.1945 tan metrik.
Projek perintis NR-REE yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu memulakan operasi pada Oktober tahun lalu selepas kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan diperoleh daripada agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.
#PerakKini #SidangDUNPErak #MenteriBesarPerak #nadirbumi #bukanradioaktif #RBZ