Isu video tular: Polis kesan suspek kejadian cubaan samun di Taman Tasek Indra

Tangkap layar video cubaan samun yang dimuat naik di TikTok UtusanTVOfficial.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan samun di Taman Tasek Indra, di sini, pada 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun laman media sosial TikTok iaitu ‘UtusanTVOfficial’ memaparkan kejadian seorang lelaki cuba menyamun sebuah rumah hari ini.
Menurutnya, video berkenaan didapati tular dan mendapat perhatian masyarakat.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5 Ogos lalu lebih kurang jam 6.40 pagi di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di sini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (cubaan samun) dan polis masih mengesan suspek yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Justeru, beliau menyeru kepada mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat berhubung kejadian cubaan samun yang dimuat naik UtusanTVOfficial di akaun TikTok.
Setakat ini video itu sudah mendapat 5.5 juta tontonan dan lebih 317,000 tanda suka.
#PerakKini #PDRM #tular #cubaansamun #Ipoh #Perak
